Dijawab Oleh : Wan Yusof  SEO Strategist and Content Marketer

Ada 2 juta carian dibuat di Google setiap minit. Di seluruh dunia. Ini petanda betapa manusia mencari informasi. Tanpa henti. Ini juga beritahu kita betapa manusia sudah mengalami limpahan data. Klik Google terus jumpa.

Dapatan kajian daripada IBM.corp lebih memeranjatkan. Sebanyak 2.5 quintillion bytes data dihasilkan dalam tempoh 2 tahun lepas.

Data ini ada banyak jenis. Salah satu jenis data yang sedang mencanak naik adalah gambar. Disebut juga sebagai visual. Kita suka akan visual. Otak kita proses data visual 60,000 kali lebih pantas daripada tulisan.

Jadi penggunaan visual adalah satu senjata berkesan dalam strategi pemasaran. Gambar yang cantik boleh menukar persepsi kita. Produk biasa nampak luar biasa.

Bagi menghasilkan gambar yang menarik, ada dua pilihan. Satu kita berikan kepada designer. Mereka ini pakar dalam bidang grafik. Cuma paling tidak ada dua kos. Kos masa dan kos duit.

Bagi syarikat yang baru memulakan bisnes, mereka mahu jimat duit. Jadi perlu ada alternatif untuk hasilkan design poster menarik. Di sini saya berkongsi 5 aplikasi grafik percuma yang menarik.

Canva

Ini aplikasi macam Adobe Photoshop. Cuma ianya lebih mudah digunakan. Ada 10 juta pengguna internet menggunakan Canva. Tidak ada bayaran dikenakan untuk pendaftaran. Percuma.

Di dalamnya ada template yang boleh digunakan. Ada juga imej premium. Imej premium ini boleh dibeli. Kosnya tidak mahal. Canva juga didatangkan dengan Design School. Ini semacam blog yang berikan panduan design menarik.

Youzign

Aplikasi design yang pernah mengegarkan dunia internet. Berbeza dengan Canva, aplikasi ini mempunyai limitasi dari sudut imej editing.

Namun kelemahan ini ditampung dengan template yang banyak. Template untuk Facebook, Google+, Kindle, Pinterest, Infografik dan banyak lagi. Andai kita mencari satu aplikasi yang siap segera, Youzign boleh menjadi pilihan.

Photoshop Express Editor

Ini adalah produk Adobe Photoshop. Bagi yang biasa dengan perisian Adobe, boleh gunakan aplikasi ini. Fungsinya semacam Adobe Photoshop versi ekspress.

Tidak ada template disediakan. Cuma kita boleh edit dengan bebas. Aplikasi ini sesuai bagi mereka yang sudah biasa dengan Adobe Photoshop.

DesignBold

Hasilkan design profesional dalam sekelip mata. Ini janji DesignBold. Aplikasi cipta visual menarik dan mudah digunakan. DesignBold ini lebih luas penggunaannya. Kita boleh gunakan aplikasi ini bagi menghasilkan poster, ebook, majalah, iklan dan banyak lagi. Kualitinya memang hebat. DesignBold didatangkan dengan imej premium dan imej percuma.

Bagi mendapatkan imej premium, kita perlu ada kredit. Ketika ini Appsumo sedang mengadakan promosi tawaran seumur hidup bagi akaun DesignBold. Andai berminat, boleh cuba dahulu sebelum bayar.

Stencil

Ini adalah aplikasi kegemaran saya. Dulunya dikenali sebagai ShareAs Image. Sekarang berubah kepada Stencil. Fungsinya hampir sama dengan Canva cuma fokus Stencil lebih kepada media sosial.

Terdapat template menarik yang sudah sedia ada. Hanya masukkan text dan ubahsuai mana yang kita mahu. Pengguna diberikan pilihan akaun percuma atau akaun berbayar. Gunakan akaun percuma terlebih dahulu. Apabila selesa, baru kita naik taraf ke pilihan berbayar.

Aplikasi Pilihan

Bagi memastikan aplikasi grafik itu sesuai dengan kita, guna edisi free trial terlebih dahulu. Setiap satu ada kelebihan dan kelemahan tersendiri. Tujuan menggunakan aplikasi grafik ini untuk memudahkan kerja. Kesemua aplikasi yang dikongsi ini menggunakan sistem cloud.

Maksudnya kita perlu mempunyai akses internet yang stabil supaya dapat menggunakan aplikasi ini secara optimimum. Saya suka gunakan Stencil bagi hasilkan poster untuk Facebook. Ianya pantas dan sangat mudah digunakan.

Wan Yusof

SEO Strategist and Content Marketer di www.wanyusof.com

Tinggalkan Komen Anda

Komen