Dijawab oleh : Syakir Zainol, Pengasas Hartanah Tuntas

Bukan pelabur luar sahaja yang datang beli hartanah di Malaysia, bahkan rakyat kita juga turut beli hartanah di negara asing.

Malaysia, melalui organisasi-organisasi kerajaan dan swasta milikan tempatan turut memiliki portfolio pelaburan hartanah yang besar di seluruh dunia.

Sebagai contoh, KWSP kini sedang menanti untuk menuai hasil pelaburan mereka melalui penjualan 2 buah asetnya di London iaitu St James Square dan Tower Bridge House dengan keuntungan sekitar RM 550 juta.

Pada tahun 2015 pula, gabungan KWAP dan KWSP telah menjual 1 Sheldon Place milikan bersama mereka dengan harga £210 juta kepada British Land, sebuah tabung amanah saham hartanah di United Kingdom.

Ini tidak termasuk warganegara Malaysia yang membeli hartanah negara-negara asing atas kapasiti peribadi; amalan pelaburan sebegini bukanlah satu perkara yang dianggap luar biasa bahkan turut dipraktiskan secara meluas oleh banyak negara lain.

Persoalan sebenar yang perlu difahami adalah, apakah faktor-faktor berlakunya pemilikan hartanah di luar negara?
Terdapat 4 kunci utama yang mendorong kepada berlakunya pemilikan hartanah di luar negara iaitu pelaburan, gaya hidup, migrasi dan pendidikan.

Pelaburan merupakan faktor penyumbang terutama disebabkan nilai hartanah dan pertukaran mata wang yang menguntungkan menjadi motivasi kepada pelabur untuk melabur di luar negara.

Sebagai contoh, kejatuhan mata wang ringgit membolehkan pelabur asing membeli lebih banyak hartanah di Malaysia. Sebaliknya juga mata wang asing yang lebih tinggi nilainya seperti US Dollar dan Great Britain Pound berupaya menjana perolehan yang lebih tinggi kepada pelabur Malaysia sekalipun dalam peratusan keuntungan yang kecil.

Negara-negara membangun turut menawarkan gaya hidup yang lebih moden dan mewah. Ini juga mendorong warga asing untuk memiliki hartanah di negara-negara ini disebabkan keterujaan mereka untuk mengecapi gaya hidup yang mereka dambakan setara dengan status sosio-ekonomi yang mereka miliki.

Begitu juga tarikan untuk berhijrah ke negara-negara membangun demi kelangsungan hidup yang dilihat lebih baik turut menyumbang kepada lebih banyak pembelian hartanah asing yang diperlukan oleh imigran-imigran ini untuk dijadikan aset mereka menetap di negara luar.

Tidak ketinggalan, kini menjadi trend warga asing yang membeli hartanah di luar negara sebagai kediaman buat anak-anak mereka yang melanjutkan pelajaran di sana.

Faktor kesesuaian budaya tempatan sangat memainkan peranan dalam mempengaruhi trend sebegini, sebagai contoh di Malaysia kaum Cina merupakan kaum kedua terbesar dan ini menarik rakyat negara China untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan tertiari pilihan mereka.

Tidak wajar untuk berterusan rasa takut dan gusar secara tidak bertempat tatkala melihat kebanjran pelabur-pelabur luar yang datang dan membuat pemilikan hartanah di Malaysia.

Dalam pada itu, sedarkah anda bahawa rakyat asing hanya boleh beli hartanah strata pegangan bebas dengan nilai minimum RM 1 juta sahaja di Wilayah Persekutuan?

Sehubungan itu, tidak wujud isu persaingan dengan warga tempatan berikutan pasaran bagi hartanah lain (kuantiti yang jauh lebih besar) masih terbuka luas untuk dijadikan milikan rakyat tempatan secara eksklusif tanpa perlu bersaing dengan orang luar.

Maka hakikat sebenar yang perlu kita tangani bukanlah isu siapa yang layak memiliki, tetapi SERIUSKAH, MAHUKAH dan BILAKAH kita orang Melayu Malaysia sendiri yang akan ambil peluang yang sudah lama terbentang di depan mata?

Tinggalkan Komen Anda

Komen