Penulis : Adenan Sharom

Kisah benar yang pasti akan buat persepsi anda berubah pada bidang kerja yang ramai pandang remeh ini.

Apa yang bakal aku ceritakan ini adalah kisah aku sendiri dan ianya panjang. Jika anda ada 5 minit masa lapang sekarang, silakan baca.

Bagaimana aku mula terjebak dalam bidang jual buku secara offline ni? Bagaimana pula alhamdulillah aku mampu pakai BMW E92, AUDI Q7 DAN GTR R35 melalui bidang ni?

Sebelum tu, aku nak kongsikan sedikit latar belakang aku. Sebab aku nak semua jangan mudah berputus asa, walaupun kisah hidup anda pernah segelap aku.

Siapa aku?

Aku anak sulung dari 4 adik beradik, lahir di Taiping, Perak. Asalnya aku adalah dari keluarga yang sederhana. Sejak sekolah aku dah mula cari duit sendiri, pernah kerja di pasar borong, cat rumah, jadi buruh kasar dan macam-macam lagi.

Aku ingat lagi, masa sekolah, aku kerap ponteng sampai hampir sebulan secara berterusan.
Perkara ni berulang-ulang sampai lah aku habis sekolah.

Dan padan muka aku, result SPM aku keluar dengan ‘jaya’nya, subjek BM pun dapat 7D. Jiwa aku masa tu memang suka memberontak. Apa yang orang larang, itu yang aku buat.

Ditambah dengan result SPM yang hancur, seolah buat aku lagi yakin hidup aku memang ditakdirkan jadi manusia tak guna. Itu apa yang aku rasa waktu tu.

Sebab itu, bila kawan-kawan sambung belajar di Universiti, aku belajar di ‘kampus’ kongsi gelap. Aku ‘praktikal’ sebagai pengutip hutang ceti haram di Taiping. Perangai memang serupa syaitan masa tu.

Dipendekkan cerita, bertahun-tahun aku dalam ‘bidang’ tu dan akhirnya, ada beberapa peristiwa yang seolah berikan aku suntikan semangat untuk berubah.

Hidayah tu dari Allah swt, Alhamdulillah. Sekali Dia ‘jentik’ hati aku, rasa jatuh tersungkur, terus sujud ke bumi.
Akhirnya aku ‘cuci tangan’.

Mula bekerjaya

Mula kerja di Tesco tahun 2008 sebagai budak stor.

Lepas 1 tahun, naik jadi team leader meat department dan di transfer ke Tesco Alma Bukit Mertajam.
Lepas 1 tahun lagi, Alhamdulillah naik jadi section manager in training di Tesco Kulim pula, gaji RM1800.
Tahun 2011 dapat offer dari Mydin Meru Ipoh sebagai trading manager, gaji RM3500.
Tahun 2013 dapat offer dari Econsave, gaji RM4400 sebagai manager department fresh.

Masa tu aku rasa macam dah berjaya dah.
Memang tak sangka dari budak jahat, boleh kerja dalam pejabat ber-aircond siap berkemeja.

Tapi perancangan Allah swt itu jauh lebih hebat. Dia dah susun ‘jalan cerita’ yang lebih baik untuk hidup aku.

Masa Hari Raya Aidilfitri tahun tu, aku ada jumpa dengan saudara aku nama Shamey.
Dia datang beraya naik Honda Jazz. Aku masa tu naik Proton Saga FL saja.

Masa bersembang tu, dia ada cerita tentang bisnes dia, jual buku katanya.
Beli kereta tu secara cash, tambahnya lagi. Aku masa tu pandang dia dengan penuh keraguan.
Iyalah, konon aku dah berjaya sebagai manager, aku dah mula pandang orang lain semacam.

Lepas dari tu, aku buat tak tahu saja. Bila aku rasa aku dah berjaya kononnya tu, masa tu pengurusan wang aku memang ke laut. Pada masa yang sama, macam-macam masalah timbul, aku dah mula rasa kecewa.

Ingatkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. ‘Hujan lebat’ pula tu.
Aku akhirnya ditukarkan ke Econsave JB tapi aku ambil keputusan untuk berhenti dan cari kerja di KL.

Kejatuhan dan kebangkitan semula

Berbekalkan pecah wang tabung rm80 aku datang ke Kuala Lumpur.
Cari punya cari, tak jumpa kerja yang bersesuaian.

Akhirnya aku tundukkan ego aku bila sampai tahap aku terpaksa tidur di masjid Kampung Baru.
Duit hanya tinggal beberapa Ringgit dalam poket.
Aku pun call Shamey, minta bantuan dia.

Alhamdulillah dia sudi nak bantu aku.
Dia ambil aku dan bawa aku ke officenya di Shah Alam.

Aku ingat lagi, masa masuk office tu, nampak ada ramai budak-budak dia yang terlompat-lompat macam beruk.
Aku dah naik pelik, kerja apa lah dia orang ni. Ritual apa pula lah ni.

Lepas tu Shamey minta aku ikut dia jual buku ke sekolah-sekolah.
Makan minum dan tempat tinggal aku, dia yang tanggung masa tu.

Alhamdulillah walaupun terpaksa tidur berhimpit hampir 20 orang 1 bilik.
Shamey minta aku belajar apa yang dia buat. Watch and learn, katanya.

First tu, kami pergi ke Sekolah area Kapar, Klang. Muka aku masa tu merah padam, seram sejuk saja bila kami masuk ke pejabat pengetua. Shamey mulakan langkah dia untuk close jual buku pada sekolah.

Aku masa tu punya terkejut bila lepas Shamey selesai ‘present’ seni close sale dia, pengetua tu bayar cash RM800 untuk buku yang kami jual.

Dari situ, aku dah nampak macam mana potensi jual buku ni.
Kalau dulu, aku pandang remeh je budak-budak pakai kemeja, skema bawa beg besar pakai tie ni.

Persepsi aku berubah sama sekali lepas follow mereka ni.

Lepas dari tu, aku pun ada cuba belajar close sendiri dan alhamdulillah, walaupun tergagap-gagap, dapat juga close 1 buku. Komisyen aku dapat RM100 untuk 1 buku umasa tu.

Dari 1 buku, jadi 3 buku. RM300 duit simpanan aku masa tu.
Sampai lah cukup sebulan, aku terkejut bila total komisyen aku mencecah RM8000.
Serius, aku dulu pun rasa tak logik, takkan lah sebesar itu komisyennya.
Tapi itulah realitinya.

Lepas bulan pertama, dari prestasi aku, alhamdulillah aku jadi team leader, dapat extra 10% komisyen. Komisyen masa tu naik sampai RM15k sebulan.

Lepas tu aku balik kampung dan selesaikan hutang-hutang tertunggak. Dan bila aku cerita pada kawan di kampung, seperti yang dah aku agak, aku dicop penipu.

Aku tak salahkan mereka, bila fikir secara kasar, mana nak logik jual buku dapat banyak tu kan.

Pencapaian terbaik aku adalah lepas 8 bulan dalam bidang ni.
Aku dah ada 8 orang dalam team dan ada 2 biji kereta untuk kegunaan kami masa tu.
Dan alhamdulillah aku naik jadi manager pula, dapat lagi extra 10%.

Dan sesuatu yang diluar jangka aku, komisyen aku mencecah RM30k sebulan.
Semuanya 100% hasil dari jualan buku, tiada udang di sebalik mee.
Ianya adalah proses jual beli yang biasa.

Dari situ lah aku mula mampu untuk berkereta mewah.
Bukan kereta mewah itu menjadi ukuran kejayaan, tapi apa yang aku nak sampaikan adalah, bidang jual buku ini tidak seremeh yang kita pandang.

Aku dulu bila nampak budak berkemeja, bawa beg, jual buku, aku selalu rasa kesian pada mereka ni.
Tapi bila aku dalam bidang tu, aku sendiri terasa ‘bodohnya’ sebab persepsi aku jauh meleset.

Ada ketika, sesuatu yang dari jauh nampak seperti berlian, rupa-rupanya kaca.
Dan ada yang nampak seperti kaca, rupanya berlian.

Tak ramai orang nak kongsikan kisah kejayaan kami budak-budak ‘poyo’ berjalan tengah panas ini.
Sebab kami gembira dengan cara kami, bersama-sama kami yang sesama bidang.
Walaupun tidak diketahui orang lain, ianya sudah memadai buat kami.

Pesanan kepada semua anak muda

Pada anda yang ada kisah hidup yang gelap, jangan cepat mudah putus asa.
Jahatnya kita dulu, insyaAllah tidak selamanya kita jahat.
Bodohnya kita dulu, insyaAllah tidak selamanya kita bodoh.
Miskinnya kita dulu, insyaAllah tidak selamanya kita miskin.
Asalkan hati kita sentiasa terbuka untuk mencuba sesuatu di luar keselesaan kita.

Semoga kisah ni dapat berikan inspirasi kepada anda yang masih tercari-cari ‘cahaya’ di hujung terowong.
Silakan share jika anda rasakan ada rakan-rakan yang perlukan sedikit motivasi pada saat ini.

Segulung ijazah tidak menjamin masa hadapan gemilang dan terbilang.ijazah yang terbaik datangnya Dari jalanan.kisah kehidupan ini aku lakarkan Dari pengalaman hidup berada dijalanan.

– Adenan Sharom
Si Penjual Buku.

#mrjalanterus
#anakmudabangkit

Anda boleh ikuti penulis di Adenan Sharom

Team naktanya

Hi guys. Nama saya Nak Tanya. Saya ditugaskan untuk mencari soalan dan ilmu pengetahuan.

Tinggalkan Komen Anda

Komen